Profil & Manifesto PDF Print E-mail
Monday, 18 February 2008

MANIFESTO DAN TUNTUTAN PARTI MAHASISWA NEGARA (PMN)
SEMPENA PILIHANRAYA UMUM KE-12

 

INTRODUKSI

Mahasiswa adalah aset yang terbaik dalam negara. Jika berpuluh tahun dulu mahasiswa merupakan harapan rakyat, maka pada hari ini pun ia tidak harus dipadamkan di dalam hati rakyat. Mahasiswa pada kali ini akan terus melihat ke hadapan.  Nasib masa depan rakyat, agama dan negara berada ditangan orang-orang yang mempunyai rasa keprihatinan yang tinggi dan mampu mencorakkan negara pada masa akan datang.

Justeru, Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang dibentuk adalah untuk terus terlibat dalam arus politik negara terutamanya Pilihanraya Umum ke-12 ini. Kewujudannya adalah untuk menghidupkan dan memperkasakan gerakan mahasiswa yang selama ini dinafikan hak untuk bersuara dan menyatakan hasrat. Inilah satu monumen yang harus diwartakan dalam sejarah negara bahawa mahasiswa wajar untuk melibatkan diri dalam arus pembangunan negara samaada dari aspek penggubalan dasar negara, penyertaan kolektif bersama rakyat dan menjulang suara mahasiswa sebagai agen semak dan imbang dalam demokrasi Malaysia.

Maka, Parti Mahasiswa Negara (PMN) dengan penuh keikhlasan dan kesedaran mengungkapkan sebuah Manifesto dan Tuntutan Parti Mahasiswa Negara (PMN) sempena Pilihanraya Umum ke-12. Manifesto ini bertemakan “Generasi Baru untuk Malaysia Baru – Mengangkat Suara Mahasiswa di Parlimen Malaysia”

 

TONGGAK PERTAMA : ASPEK PENDIDIKAN

 

1. Berikutan kos sara hidup yang semakin menekan dan terhimpit, PMN menggesa supaya peruntukan untuk biasiswa dikembalikan kepada semua pelajar yang layak melanjutkan pelajarannya ke IPTA/IPTS di Malaysia dan menghapuskan sebarang caj terhadap PTPTN dengan menggunakan kaedah pinjaman tanpa faedah (Qardul Hasan) yang jelas berpaksikan atas dasar bantu membantu, sukarela dan belas ihsan.

2. Menyalurkan sebarang bantuan, subsidi serta kemudahan dan prasarana pendidikan kepada semua peringkat, rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi tanpa sebarang prejudis dan pilih kasih.

3. Mengkaji semula dasar pendidikan negara yang terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata. Aspek-aspek sahsiah dan ko kurikulum seharusnya juga dinilai bagi mengukur prestasi seseorang pelajar.

4. Bagi memastikan pengurusan, pentadbiran serta memahami jiwa dan konteks pelajaran dan pengajian tinggi, maka PMN mendesak supaya Menteri Pelajaran Malaysia dan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia adalah dikalangan para cendiakawan dan ahli intelektual yang disegani dan dihormati. Mereka juga mestilah mempunyai disiplin ilmu yang luas dan bertaraf Profesor atau sekurang-kurangnya Profesor Madya.

5. Pentadbiran universiti, pentadbiran sekolah rendah dan menengah seharusnya tidak boleh dicampuri dengan tangan-tangan ahli politik kepartian. Dasar pendidikan hendaklah konsisten dan tidak terlalu kerap dipinda.

TONGGAK KEDUA : ASPEK POLITIK

 

1. Parti Mahasiswa Negara (PMN) berpendapat kadar kemiskinan tegar dalam Malaysia tidak seimbang jika dibandingkan dengan pembangunan-pembangunan mewah yang terdapat dalam negara kita. Ia juga berikutan dengan gaya hidup para menteri dan ahli parlimen yang selesa dan jauh dari skala kesederhanaan.

Justeru, PMN ingin menegaskan bahawa gaji dan elaun menteri-menteri kabinet dan elaun ahli-ahli Parlimen hanya sebanyak 70 peratus (70%) sepertimana yang termaktub di dalam Undang-Undang Malaysia Akta 237 – Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980. Ia bagi mengingatkan semua wakil rakyat bahawa pemilihan untuk jawatan tersebut merupakan satu amanah yang berat dan perlu untuk mengutamakan kepentingan rakyat.

2. PMN berpendapat untuk mewujudkan lebih banyak kelompok yang menjadi golongan pendesak dan agen semak dan imbang dalam sesebuah negara demokrasi, maka adalah wajar sekiranya Malaysia menubuhkan satu Parlimen Belia atau menjadi senator yang dipilih secara telus dikalangan mahasiswa, golongan muda dan belia kerana mahasiswa seharusnya bebas dengan idealisme, perancangan dan pembawaan mereka dalam mencorakkan masa depan negara.

3. Menyarankan mata pelajaran yang berkaitan politik diperkenalkan di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi ke arah melahirkan generasi warganegara yang matang dan mempunyai kesedaran yang tinggi.

4. Kerajaan Malaysia sewajarnya memberikan kuasa autonomi kepada pihak universiti untuk menjalankan tanggungjawab pentadbiran mereka dengan lebih lancar dan untuk mengelakkan karenah birokrasi.

TONGGAK KETIGA : ASPEK EKONOMI

 

1. Mewujudkan dasar ekonomi dan sistem pengagihan kekayaan negara yang berdasarkan meritokrasi dan keperluan tanpa mengira kaum, agama, jantina dan umur.

2. Memaksimumkan penyertaan belia dalam penggubalan dasar ekonomi melalui platform yang bebas, adil, integriti dan mewakili golongan belia dengan melibatkan belia sebagai ’second opinion’ dan sebahagian daripada penyelesaian masalah yang dihadapi oleh mereka, bukannya sekadar penerima dan pengguna sahaja.

3. Golongan mahasiswa, belia dan golongan anak muda sewajarnya dibantu dari aspek kewangannya untuk berusaha maju di dalam sektor perniagaan, keusahawanan, pendidikan dan rumah tangga kerana mereka perlu diberikan suntikan sebagai motivasi untuk meneruskan hidup dengan lebih baik dan mengelakkan gejala pengangguran.

4. PMN menggesa supaya kesemua barang-barang kawalan yang diisytiharkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sentiasa terus dikawal dan kadar takrif kepada sumber tenaga utama iaitu air, elektrik dan bahan api (minyak) diminimakan kosnya supaya seluruh golongan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

 TONGGAK KEEMPAT : ASPEK SOSIO-BUDAYA

 

1. Institusi pendidikan sebagai platform membina kesatuan dan mengeratkan hubungan antara kaum di Malaysia. Untuk menggalakkan persefahaman kaum, silibus pendidikan perlu disemak semula dan memasukkan aspek kepelbagaian budaya dan agama supaya difahami oleh para pelajar ke arah menghargai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat

2. PMN juga berpendapat bahawa kajian yang mendalam perlu dijalankan untuk memastikan keselamatan awam perlu dijaga dengan sebaiknya. Ia bukan hanya ditumpukan kepada aspek hukuman semata-mata tapi ia juga mesti mengambil kira aspek pencegahan yang rapi.

3. PMN merasakan kesedaran dan keinsafan perlu wujud kepada seluruh rakyat di atas setiap hukuman yang diberikan ke atas kes-kes jenayah. Bagi memastikan perkara tersebut wujud, PMN berpandangan bahawa hukuman seharusnya dilakukan secara terbuka dan disaksikan oleh rakyat (public canning).

4. PMN menolak budaya tidak sihat ; rokok, judi dan arak dengan menyarankan agar lesen bagi ketiga-tiga perkara ini tidak di luluskan dan di jual  sewenangnya kerana ia adalah punca kerosakan dalam masyarakat di Malaysia tidak kira agama dan bangsa.

TONGGAK KELIMA : ASPEK PEMBANGUNAN MODAL INSAN

 

1. Anak muda perlu ditekankan penghayatan spiritual, agama, moral dan disiplin yang tinggi untuk mengelakkan mereka mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir yang tidak baik.

2. Sistem pendidikan perlu mendorong para belia supaya menjadi “all-rounder” supaya mereka berkemampuan dari pelbagai segi dan berupaya memikir secara berdikari dan kritikal.

3. Anak muda terutamanya mahasiswa seharusnya wajib terlibat dengan politik secara langsung untuk menganjakkan daya pemikiran, kesedaran dan kematangan bertindak untuk memastikan kepimpinan masa depan dengan lebih berintegriti, berwibawa dan berkarismatik.

4. Anak muda seharusnya dibantu dan diberikan elaun untuk mereka berkahwin supaya dapat mengelakkan daripada terjebak dengan krisis moral dan untuk meringankan bebanan kewangan mereka.

 

HARAPAN : KEMBALI BERBAKTI

 

Mahasiswa Malaysia menghargai sejarah perjuangan rakyat Malaysia bagi mencapai kemerdekaan dan membangunkan Malaysia. Namun, kini sudah sampai masa Malaysia perlu dicorak dengan nafas baru yang memberi ruang dan keselesaan kepada semua rakyat. Keadilan perlu diberikan kepada semua pihak dalam semua sudut. Khazanah kekayaan negara wajar dibahagi sama rata kepada semua kaum dan agama. Semua rakyat yang susah berhak mendapat bantuan untuk keluar dari kehidupan yang sempit. Semua rakyat berhak mendapat pendidikan percuma. Tiada lagi faktor kaum menjadi halangan untuk menikmati kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang bebas.

MAHASISWA BERSAMA RAKYAT