|
KOK LANAS: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak gentar dengan kemunculan parti ‘nyamuk’ yang mahu bertanding pada pilihan raya umum kali ini kerana yakin rakyat tidak mudah
terpengaruh dakyah mereka.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Kerajaan BN mempunyai misi yang lebih besar dalam memajukan rakyat dan negara daripada melayan mereka.
"Parti nyamuk termasuk Parti Mahasiswa tidak akan menggerunkan Kerajaan BN, malah kita tahu mereka tidak mampu mempengaruhi segala perancangan yang sudah dirancangkan.
"Kerajaan BN tidak pernah gentar dengan parti nyamuk ini kerana kita ada misi besar yang perlu dilaksanakan untuk pembangunan rakyat dan negara. Kita tidak mudah terpengaruh golongan minoriti
itu," katanya.
Beliau memberitahu pemberita selepas majlis peletakan batu asas Kolej Komuniti Kok Lanas yang dibangunkan dengan kos RM9 juta di pekan Kok Lanas, di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Imran Idris.
Beliau mengulas usaha Parti Mahasiswa yang kini giat mendapatkan laluan daripada pakatan pembangkang, terutama Pas untuk melawan BN termasuk di Kelantan.
Mustapa yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, kerajaan bersikap telus serta mengamalkan demokrasi dan kalau ada pihak yang hendak bertanding, parti itu perlu didaftarkan dulu.
Namun, katanya, agenda utama pelajar ialah meningkatkan tahap kecemerlangan bukan terbabit dengan sebarang parti politik atau mudah terpengaruh dengan perkara negatif.
"Banyak peluang diberikan kerajaan kepada pelajar ketika di universiti, malah turut membenarkan mereka terbabit dalam penubuhan persatuan seperti sukan dan lawatan ke luar negara," katanya.
Beliau berkata, mereka diingatkan tidak terbabit dalam politik walaupun ada peratusan kecil berpolitik dengan disokong parti tertentu.
"Pihak universiti sudah memantau perkara ini dengan menubuhkan jawatankuasa pemantauan serta sentiasa mengadakan mesyuarat dan hasilnya diserahkan kepada saya.
"Saya sedar ada yang terbabit dalam politik dan mereka diminta segera berhenti,” katanya.
"Saya perlu bertindak tegas kerana pada pilihan raya umum lalu tidak berlaku sebarang masalah tetapi tahun ini ada segelintir yang dilihat condong ke arah itu," katanya.
Pelajar boleh dikenakan tindakan kerana melanggar Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
|