Cabar Ketua Pemuda PAS PDF Print E-mail
Wednesday, 20 February 2008

Cabar Ketua Pemuda PAS Pusat menyertai mahasiswa, jika benar meyokong Parti Mahasiswa Negara ( PMN )

Kenyataan Media bertarikh 30 Januari 2008, Kuala Lumpur 

Memetik kembali kenyataan YB Salahuddin di dalam beberapa siri kenyataan media yang lalu, menyatakan bahawa “idealisma perjuangan PMN ini boleh diterima kerana ia satu bentuk pemikiran baru dalam era politik kemahasiswaan, dan besar kemungkinan suara mahasiswa boleh dijelmakan kembali dipentas politik. Tetapi dari segi perlaksanaan PMN tersebut, ia perlu diteliti disebabkan mereka masih belum menamatkan pengajian. Harapan saya, PMN dapat mempertimbangkan semula hasrat untuk bertanding sebagai parti kerana parti pembangkang tidak pernah menutup pintu kepada orang muda.” 

Sokongan itu pada kami adalah ibarat satu signal yang berunsur provokasi yang ingin menyatakan bahawa kami adalah berpihak kepada pembangkang. Bagi PMN, kenyataan tersebut adalah bersifat parasit kerana pembangkang jua mempunyai kepentingan tersendiri bagi menjayakan agenda dan misi memenangi pilihanraya yang akan datang. Kami tetap bertegas dengan pendirian kami bahawa tidak berpihak kepada mana-mana komponen parti politik. Kami adalah parti generasi baru untuk Malaysia yang baru. 

 Bagi kami, 50 tahun perjalanan Malaysia ini menyaksikan dominasi 2 komponen parti (BN dan BA) yang sudah tidak relevan lagi untuk dipilih rakyat dan memimpin Malaysia. Amalan demokrasi tidak dapat dicanai dengan baik, malahan mereka masih bertelagah di atas sana, akibatnya rakyat terus menderita dan tertindas. Kami menyelar segala macam yang telah berlaku dalam perjalanan landskap politik Malaysia, yang masing-masing pada kami ada kepentingan mereka masing-masing.

 Mahasiswa bersama rakyat, tema teras perjuangan kami. Bersama memimpin generasi baru muda pasca kemerdekaan ini. Bagi kami generasi kepimpinan 50 tahun yang terdahulu adalah sudah ‘expired’ dan sudah tidak rasional lagi untuk berada ditampuk kepimpinan Negara. Lihat dan perhatikan generasi apa yang telah berlaku pada generasi muda masa kini.

Menyedari hakikat ini, PMN tampil untuk bersama mendokong harapan mereka.  Kami PMN,menyarankan kepada beliau dan barisan pemuda yang lain tinggalkan PAS dan sertai kami, dan kami menawarkan kerusi kepada beliau sebagai Ketua Pemuda PMN jika benar beliau menyokong kami. 

“Generasi Baru Ke arah Malaysia Yang Baru”  

Azlan Zainal

Presiden, Parti Mahasiswa Negara.

 
< Prev   Next >